Fobia Arabisasi

Posted by Zuhdi Farhan On Friday, September 18, 2015 0 comments

Pada 5 Julai 2015, satu artikel diterbitkan dalam The Malaysian Insider bertajuk ‘Apabila budaya Melayu ‘ditelan’ budaya Arab’. Sebelum itu, pada 23 Mei 2015, The Malay Mail telah menerbitkan satu artikel berita dengan headline ‘Marina Mahathir: Malaysia undergoing ‘Arab colonialism’.

Sekali lagi kita disogokkan dengan perkara yang tidak sepatutnya menjadi isu, malahan diperbesarkan seolah-olah tiada perkara lain yang lebih mustahak untuk dibincangkan. Kononnya orang-orang Melayu sudah ‘kurang Melayu’ dan proses mengArabkan  orang-orang Melayu kini berada pada tahap yang membimbangkan.

Sudahlah iman mudah tergugat mendengar penganut agama lain menyebut nama  Allah dan melihat mereka makan dan minum di hadapan kita, kini orang Melayu dikata pula tidak dapat membezakan Arab dengan Islam. Bodoh sangatkah Melayu ini sebenarnya?

Risau melihat fenomena jubah dan abaya menjadi pilihan orang ramai berbanding baju melayu, baju kurung, dan kebaya tiba-tiba menjadi lebih besar dari isu-isu semasa yang sedang melanda negara ketika ini. Padahal pakaian tersebut menjadi pilihan kerana mudah dipakai, selain daripada menjadi trend masa kini dan mengikut Sunnah Rasulullah S.A.W. Rasanya banyak lagi kedai pakaian yang menjual baju kurung, baik secara atas talian mahupun sebaliknya.

Penggunaan istilah-istilah Arab dalam pertuturan harian dipersoalkan, kononnya Bahasa Melayu sedang dijajah oleh Bahasa Arab. Bukankah sejak dahulu kita sering meminjam istilah dan perkataan dari bahasa asing untuk diserapkan ke dalam Bahasa Melayu? Bukan sahaja Bahasa Arab, malahan dari Bahasa Inggeris, Portugis, dan Sanskrit.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), serapan  perkataan Arab ke dalam Bahasa Melayu bermula sejak kurun ke-13 lagi, seiring dengan penyebaran Islam ke rantau ini. Abdul Hamid Ahmad juga dalam bukunya Kamus al-Hamidi telah menyenaraikan kira-kira 2000 perkataan Arab yang terdapat dalam Bahasa Melayu.

Yang dituduh menjadi antara punca kepada ‘krisis kebudayaan Melayu’ini ialah rakyat Malaysia yang belajar di Timur Tengah yang pulang ke tanah air dan kemudiannya bekerja di pejabat-pejabat kerajaan. Pejabat-pejabat kerajaan dikatakan sudah ‘berubah suasana’. Mungkin hendak dikaitkan dengan isu etika berpakaian yang sedang hangat diperdebatkan sekarang ini.

Adakah dengan terjadinya perkara-perkara di atas, orang Melayu semakin ‘kurang Melayu’? Jawapannya, tidak. Orang Melayu sedikit pun tidak akan berkurang keMelayuan mereka.


Saya melihat ini hanyalah sebagai salah satu fobia yang sedang melanda masyarakat Melayu ketika ini, setelah ketakutan terhadap Illuminati dan bentuk segi tiga 4-5 tahun belakangan ini semakin reda. Penularan anasir-anasir budaya Barat dalam masyarakat kita yang sarat dengan adab dan tatasusila ketimuran sepatutnya lebih dibimbangkan dan diberi perhatian.