Pada 5
Julai 2015, satu artikel diterbitkan dalam The Malaysian Insider bertajuk ‘Apabila
budaya Melayu ‘ditelan’ budaya Arab’. Sebelum itu, pada 23 Mei 2015, The Malay
Mail telah menerbitkan satu artikel berita dengan headline ‘Marina Mahathir:
Malaysia undergoing ‘Arab colonialism’.
Sekali lagi
kita disogokkan dengan perkara yang tidak sepatutnya menjadi isu, malahan
diperbesarkan seolah-olah tiada perkara lain yang lebih mustahak untuk
dibincangkan. Kononnya orang-orang Melayu sudah ‘kurang Melayu’ dan proses
mengArabkan orang-orang Melayu kini
berada pada tahap yang membimbangkan.
Sudahlah
iman mudah tergugat mendengar penganut agama lain menyebut nama Allah dan melihat mereka makan dan minum di
hadapan kita, kini orang Melayu dikata pula tidak dapat membezakan Arab dengan
Islam. Bodoh sangatkah Melayu ini sebenarnya?
Risau
melihat fenomena jubah dan abaya menjadi pilihan orang ramai berbanding baju
melayu, baju kurung, dan kebaya tiba-tiba menjadi lebih besar dari isu-isu
semasa yang sedang melanda negara ketika ini. Padahal pakaian tersebut menjadi
pilihan kerana mudah dipakai, selain daripada menjadi trend masa kini dan
mengikut Sunnah Rasulullah S.A.W. Rasanya banyak lagi kedai pakaian yang
menjual baju kurung, baik secara atas talian mahupun sebaliknya.
Penggunaan
istilah-istilah Arab dalam pertuturan harian dipersoalkan, kononnya Bahasa
Melayu sedang dijajah oleh Bahasa Arab. Bukankah sejak dahulu kita sering
meminjam istilah dan perkataan dari bahasa asing untuk diserapkan ke dalam
Bahasa Melayu? Bukan sahaja Bahasa Arab, malahan dari Bahasa Inggeris,
Portugis, dan Sanskrit.
Menurut
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), serapan
perkataan Arab ke dalam Bahasa Melayu bermula sejak kurun ke-13 lagi,
seiring dengan penyebaran Islam ke rantau ini. Abdul Hamid Ahmad juga dalam
bukunya Kamus al-Hamidi telah menyenaraikan kira-kira 2000 perkataan Arab yang
terdapat dalam Bahasa Melayu.
Yang
dituduh menjadi antara punca kepada ‘krisis kebudayaan Melayu’ini ialah rakyat
Malaysia yang belajar di Timur Tengah yang pulang ke tanah air dan kemudiannya
bekerja di pejabat-pejabat kerajaan. Pejabat-pejabat kerajaan dikatakan sudah
‘berubah suasana’. Mungkin hendak dikaitkan dengan isu etika berpakaian yang
sedang hangat diperdebatkan sekarang ini.
Adakah
dengan terjadinya perkara-perkara di atas, orang Melayu semakin ‘kurang
Melayu’? Jawapannya, tidak. Orang Melayu sedikit pun tidak akan berkurang
keMelayuan mereka.
Saya
melihat ini hanyalah sebagai salah satu fobia yang sedang melanda masyarakat
Melayu ketika ini, setelah ketakutan terhadap Illuminati dan bentuk segi tiga
4-5 tahun belakangan ini semakin reda. Penularan anasir-anasir budaya Barat
dalam masyarakat kita yang sarat dengan adab dan tatasusila ketimuran
sepatutnya lebih dibimbangkan dan diberi perhatian.
0 comments:
Post a Comment