6.7.1
Ta’azir
Ta’zir adalah hukuman yang tertakluk kepada
budi bicara pemerintah, badan perundangan atau hakim kerana hukuman bagi
kesalahan ini tidak disebut di dalam al-Quran atau Sunnah. Skop kesalahan
ta’zir adalah luas kerana semua bentuk kesalahan yang tidak tertakluk kepada
hukuman qisas dan hukuman hudud adalah tertakluk kepada hukuman ta’zir. Bentuk hukuman adalah berbagai-bagai dan tertakluk kepada budi bicara
pemerintah, badan perundangan atau hakim.
Ta’zir terbahagi
kepada dua iaitu:
- Kesalahan yang termasuk dalam
kategori kesalahan hudud tetapi hukuman hudud tidak dapat dilaksanakan kerana ia tidak
memenuhi syarat pelaksanaannya. Syeikul Islam Ibnu Taimiyyah menyebut:
Maksiat-maksiat yang tidak dikenakan hukuman had yang tertentu dan tidak
pula dikenakan kifarat adalah termasuk dalam ta’zir seperti orang yang
mencium lelaki atau wanita ajnabi, bercumbu-cumbuan, atau mencuri barang
yang tidak diletakkan di tempat yang wajar, atau barang yang dicuri tidak
cukup nisab.
- Kesalahan yang selain dari
kategori kesalahan hudud dan qisas. Ia meliputi semua bentuk kesalahan
samada kesalahan itu disebut dalam al-Quran dan Hadith atau tidak. Ia juga
mencakupi kesalahan terhadap hak Allah, terhadap hak manusia atau hak
kedua-duanya.
Sebahagian dari
kesalahan ta’zir disebut dalam al-Quran dan Sunnah, tetapi hukumannya tidak
dinyatakan. Al-Quran ada menyebut beberapa kesalahan tanpa menyebut hukumannya.
Contohnya kesalahan memakan makanan haram seperti bangkai, darah, daging babi
dan daging yang tidak disembelih secara sah[1], tidak menunaikan amanah atau melanggar kontrak serta tidak menjatuhkan
hukuman dengan adil[2], mengkhianati harta anak yatim[3], menipu dalam sukatan atau timbangan[4], mengenakan dan memakan riba[5], menyembunyikan keterangan atau bukti[6], membuat fitnah, menghina atau memburukkan nama seseorang[7], melakukan rasuah[8], berjudi dan menilik nasib[9] dan banyak lagi.
Sementara hukuman
ta’zir bagi kesalahan yang tidak terdapat dalam al-Quran atau Sunnah adalah
lebih luas kerana semua bentuk pelanggaran undang-undang yang dikuatkuasakan
untuk maslahah umum boleh dihukum secara taazir. Perkembangan hidup manusia
yang semakin kompleks menuntut agar pemerintah Islam sentiasa peka dengan
keperluan undang-undang untuk menjamin keharmonian dan kebahagiaan rakyat.
Semua kesalahan seperti yang melibatkan kesalahan lalu lintas, jenayah siber,
jenayah bio-teknologi, jenayah perdagangan, kesalahan yang melibatkan tempat
awam, kesalahan yang melibatkan alam sekitar dan hidupan liar dan banyak lagi
adalah termasuk di dalam kesalahan ta’zir.
Jenis-jenis
hukuman ta’zir adalah tidak terhad kerana ia bergantung kepada maslahah, bahkan
pemerintah, badan perundangan atau hakim boleh mengenakan apa sahaja hukum
dengan syarat ia setimpal dengan kesalahan dan menepati maslahah umum. Dalam
sejarah Islam terdapat beberapa hukuman yang pelik yang dilakukan oleh
pemerintah dan hakim. Contohnya Sayyidina Umar pernah menghitamkan muka orang
yang membuat kesaksian palsu dan orang itu dinaikkan atas binatang tunggangan
secara tebalik. Walau
bagaimanapun, hukuman yang biasa dijatuhi adalah seperti berikut:
- Mencela iaitu kepada orang yang
melakukan tindakan yang tidak sopan. Abu Zar pernah mengaibkan seseorang,
lantas Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya engkau ini masih ada pada
mu (saki-baki) Jahiliyyah”.[10]
- Membuat
pengisytiharan kepada orang ramai
- Mengasingkan
pesalah dari masyarakat seperti hukuman Rasulullah ke atas Kaab bin Malik,
Murarah bin al-Rabi’ dan Hilal bin Umayyah al-Wafiqi yang tidak menyertai
peperangan Tabuk.
- Amaran
atau ancaman
- Tahanan
atau penjara
- Pukulan
dengan rotan
- Merampas
harta benda
- Denda
dengan wang atau harta
- Buang
negeri
- Pemusnahan
barang-barang
- Hukuman
mati
- Hukuman
bakar
- Memecat
jawatan
6.8
Perbezaan dengan
undang-undang jenayah sivil
Undang-undang jenayah Islam mempunyai
kelebihan tersendiri berbanding undang-undang jenayah sivil yang kebanyakannya
datang dari negara Barat. Di Malaysia umpamanya undang-undang jenayah
kebanyakannya diperuntukkan di dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) yang diceduk
dari Kanun Keseksaan India .
Kanun Keseksaan India ini
adalah sebenarnya berasal dari kaedah-kaedah perundangan Common Law England
yang dikumpulkan dan ditulis dalam bentuk akta atau Kanun. Selain Kanun
Keseksaan, undang-undang jenayah juga terdapat dalam akta-akta tertentu seperti
Akta Dadah Berbahaya, Akta Kastam 1967, Akta Pencegahan Rasuah 1997, Akta
Keselamatan Dalam Negeri 1957, Akta Rahsia Rasmi 1983 dan lain-lain. Sementara
prosedur jenayah pula diperuntukkan dalam Kanun Prosedur Jenayah (NMB. Bab 6),
Akta Keterangan dan akta-akta berkaitan mahkamah.
Oleh kerana sumber kedua-dua undang-undang
ini adalah berbeza maka terdapat beberapa perbezaan di antara undang-undang
jenayah Islam dan undang-undang jenayah sivil. Antara perbezaan di antara undang-undang jenayah Islam dan undang-undang
jenayah sivil adalah:
- Undang-undang Islam adalah dari
Allah sedangkan undang-undang sivil adalah ciptaan manusia. Allah yang
memiliki segala sifat kesempurnaan tentunya membuat undang-undang yang
terbaik dan paling sesuai untuk manusia. Bahkan manusia ini adalah ciptaan
Allah, maka Allah tentu Maha Mengetahui apakah undang-undang jenayah yang
sesuai dengan fitrah manusia. Undang-undang ciptaan manusia terdedah
dengan seribu satu kelemahan kerana ilmu dan kebolehan manusia adalah
terhad. Tambahan pula manusia sentiasa terpengaruh dengan keadaan
persekitaran, latar belakang keluarga, pendidikan, dorongan nafsu dan
hasutan syaitan. Kerana itulah undang-undang manusia sentasa berubah
umpamanya dahulu homoseksual dianggap sebagai satu jenayah, tetapi hari
ini ia tidak lagi dianggap satu kesalahan, bahkan ia diangkat sebagai satu
amalan yang sah melalui perkahwinan seperti yang diamalkan di negara-negara
tertentu.
- Undang-undang jenayah Islam
tidak terpisah dengan aspek aqidah iaitu keimanan kepada perkara ghaib.
Beriman dengan kebenaran dan kehebatan undang-undang jenayah Islam adalah
wajib kerana ia termaktub di dalam al-Quran dan Sunnah. Demikian juga
undang-undang Islam tidak memisahkan soal pembalasan di dunia dengan
pembalasan di akhirat. Unsur kepatuhan kepada Allah, konsep pembalasan di
akhirat, serta konsep dosa dan pahala mendorong rakyat menjauhi jenayah.
Ini kerana mereka bukan sahaja takut kepada hukuman di dunia bahkan mereka
lebih takut hukuman di akhirat yang lebih dahsyat dan lebih lama. Oleh
yang demikian mereka akan mengelakkan diri dari melakukan jenayah dengan
bersungguh-sungguh walau pun jenayah itu boleh dilakukan di luar pengetahuan
penguatkuasa undang-undang. Secara tidak langsung ia dapat mengurangkan
kadar jenayah. Begitu juga bagi yang terlanjur melakukan jenayah, mereka
akan lebih bersedia untuk tampil menyerahkan diri mereka untuk dihukum
dengan undang-undang Islam demi untuk mengelakkan hukuman di akhirat.
Inilah yang berlaku pada zaman Rasulullah, dan Khulafa’ al-Rasyidin.
Berbeza dengan undang-undang sivil yang langsung tidak ada hubungan dengan
iman atau aqidah. Keberkesanan undang-undang sivi bergantung sepenuhnya
kepada kekerasan undang-undang, penguatkuasaan dan pengawalan pemerintah.
- Ruang lingkup jenayah atau
kesalahan dalam Islam adalah lebih luas iaitu mencakupi kesalahan yang
bersabit hak Allah, hak manusia serta hak Allah bersama-sama hak manusia.
Ini bermakna ia meliputi berbagai bentuk kesalahan seperti yang berkaitan
dengan kepercayaan atau keimanan, umpamanya hukuman ke atas mereka yang
murtad. Undang-undang Islam juga menyentuh hukuman ke atas kesalahan
berkaitan ibadat seperti mereka yang meninggalkan solat, solat Jumaat,
puasa pada bulan Ramadhan dan haji. Undang-undang jenayah Islam juga amat
menitik beratkan soal akhlak seperti hukuman kepada mereka yang berzina,
berkhalwat, berjudi dan minum arak. Berbeza dengan hukuman jenayah sivil
yang tidak menganggap sesetengah jenayah seperti murtad, zina,
meninggalkan solat, minum arak dan judi sebagai satu jenayah. Ini kerana
soal unsur-unsur iman, ibadat dan akhlak tidak menjadi perkiraan yang
penting bagi penggubal undang-undang ini.
- Undang-undang jenayah Islam mengutamakan
aspek pencegahan melalui kaedah yang unik dan amat menarik. Contohnya
hukuman yang terdapat di dalam undang-undang Islam seperti sebat dan rejam
bagi penzina dilihat sebagai berat dan menggerunkan oleh sesetengah pihak.
Ini menjadikan rakyat takut untuk melakukan jenayah zina. Sedangkan
pensabitannya adalah sukar kerana syarat-syarat untuk mensabitkan hukuman
adalah amat ketat. Umpamanya ia memerlukan empat saksi leleki yang tidak
fasik yang melihat secara jelas apa yang berlaku. Ini menjadikan jumlah
sebenar yang dikenakan hukuman yang dianggap berat ini adalah sedikit.
Jika zina tidak dapat dibuktikan, mereka mungkin dikenakan hukuman ta’zir
yang lebih ringan. Bahkah pada zaman Rasulullah s.a.w. dan Khulafa
al-Rasyidin, hukuman hudud seperti zina kebanyakannya disabitkan melalui iqrar
atau pengakuan bukan melalui empat orang saksi kesaksian. Begitu juga
dalam Islam terdapat hukum yang berbentuk pencegahan umpamanya pengharaman
berdua-duaan bagi lelaki dan wanita ajnabi bertujuan untuk mengelakkan
zina, pengharaman arak untuk mengelakkan jenayah yang lebih besar seperti
membunuh dan lain-lain. Konsep pencegahan begini tidak diambil berat oleh
undang-undang jenayah sivil, kerana ia lebih menumpukan kepada kepada
aspek menghukum dan membalas.
- Undang-undang jenayah Islam
tidak dapat dipisahkan dari konsep menyeru kepada kebaikan dan mencegah
perbuatan munkar (al-amr bil makruf wa al nahyi anil munkar).
Konsep ini banyak membantu mengurangkan jenayah. Islam bukan sahaja
mengarahkan kejahatan diperangi bahkan menyeru agar kebaikan
disebarluaskan. Mereka yang biasa dengan amalan kebaikan dan ibadat akan
terhindar dari melakukan kemunkaran dan jenayah. Umpannya ibadat solat
yang disebut oleh Allah sebagai ibadat yang dapat mencegah munkar. Ibadah
puasa pula disebut oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam sebagai
amalan yang dapat mengekang hawa nafsu syahwat. Begitu juga dengan amalan
makruf yang lain. Konsep al-amr bil makruf wa al nahyi anil munkar
ini mengajak seluruh rakyat terutamanya umat Islam untuk bersama-sama
membenteras jenayah. Bahkan, mereka juga dibenarkan untuk membuat
tangkapan jika mempunyai asas kukuh. Kewujudan Badan Hisbah selaku badan
rasmi yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk melaksanakan konsep al-amr
bil makruf wa al nahyi anil munkar ini juga dapat membantu
mengurangkan jenayah. Dengan cara ini para penjenayah akan lebih
berhati-hati dalam segala tindakan mereka. Konsep ini tidak ada dalam
undang-undang jenayah sivil. Pihak penguatkuasa seperti polis biasanya
akan hanya mengambil tindakan selepas terdapat laporan berkaitan jenayah
dibuat.
- Undang-undang jenayah Islam
amat berhati-hati dalam soal mensabitkan seseorang dengan hukuman jenayah.
Umpamanya dalam kes hudud, pensabitannya adalah amat berat. Contohnya,
bagi kes kecurian, harta yang dicuri itu mesti disimpan ditempat yang
sesuai, dan tidak berlaku masalah yang mendesak seperti perang, kebuluran
dan mala petaka. Begitu juga dalam kes zina yang disabitkan dengan iqrar
atu kesaksian oleh emapat lelaki yang melihat kejadian secara jelas ibarat
melihat timba masuk ke dalam perigi. Jika gagal membawa empat saksi, orang
yang yang membuat tuduhan itu pula akan didakwa melakukan kesalahan qazaf.
Syarat saksi dalam undang-undang Islam pula amat ketat. Seseorang saksi
mestilah adil iaitu tidak fasik. Terdapat proses penapisan saksi yang
disebut sebagai ‘tazkiyah al-syuhud’. Jika didapati saksi itu
pernah melakukan dosa besar selalu melakukan kejahatan mempunyai akhlak
yang keji, maka kesaksiannya boleh dipertikai. Dalam undang-undang jenayah
sivil, soal akhlak dan perangai saksi tidak diambil kira dalam menentukan
kesahihan keterangannya.
- Undang-undang jenayah Islam
tidak membenarkan pemerintah menahan seseorang tanpa dibawa kemuka
pengadilan dan didakwa menurut prosedur yang sah. Islam menjunjung tinggi
konsep bahawa ‘pada asalnya seseorang itu tidak bersalah’ (al-aslu
bara’ah al-zimmah). Tahanan tanpa bicara dianggap satu kezaliman dalam
Islam walau dengan apa alasan sekali pun. Jika seseorang itu dikatakan
melakukan jenayah, maka perkara jenayah itu perlu dibuktikan oleh pendakwa
di hadapan hakim di mahkamah. Beban bukti terletak pada pendakwa. Jika
tiada bukti bahawa tertuduh itu melakukan jenayah, maka tertuduh itu perlu
dilepaskan dan dia bebas dari tuduhan itu. Dalam undang-undang jenayah
sivi, terdapat peruntukan yang membenarkan tahanan tanpa bicara yang
disebut sebagai tahanan pencegahan atau preventive detention.
Contohnya Akta Keselamatan Dalam Negeri membenarkan seseorang yang
disyakki menjejaskan keselamatan awam ditahan selama 60 hari tanpa bicara
untuk siasatan. Seseorang yang pada pendapat Menteri Dalam Negeri boleh
menjejaskan keselamatan awam pula boleh ditahan selama dua tahun. Mereka
boleh ditahan tanpa dibicara di mana-mana tribunal atau mahkamah.
- Undang-undang Islam
memperuntukkan pelbagai bentuk hukuman yang mempunyai kesan yang mendalam.
Bagi hukuman hudud terdapat hukuman rejam sampai mati, sebatan, hukuman
mati, potong tangan. Potong kaki, salib, dan buang negeri. Bagi kesalahan
qisas, terdapat hukuman qisas iaitu balasan yang sama dengan jenayah iaitu
nyawa dengan nyawa, mata dengan mata, telinga dengan telinga dan
seterusnya, serta hukuman diyat iaitu gantirugi dengan kadar yang berbeza.
Hukuman takzir pula amat luas dan boleh dikenakan mengikut maslahah,
keperluan dan kebijaksanaan pemerintah, badan perundangan serta hakim.
Sementara dalam undang-undang sivil, hukumannya yang utama hanyalah
hukuman mati, penjara, sebat dan denda. Walau pun terdapat hukuman lain
seperi jaminan perkelakuan baik, gantirugi, dan arahan untuk remaja,
hukuman yang utama adalah hukuman mati, penjara, denda dan rotan. Di
antara keempat-empat hukuman ini pula hukuman yang paling banyak adalah
hukuman penjara. Boleh dikatakan hampir semua bentuk kesalahan jenayah
boleh dihukum dengan hukuman penjara. Kesalahan-kesalahan utama dan berat
seperti membunuh, rogol, menculik, merompak dan seumpamanya boleh dihukum
dengan hukuman penjara. Begitu juga dengan kesalahan kecil seperti
kesalahan lalu-lintas, kesalahan berkaitan pihak berkuasa tempatan dan
sebagainya. Sedangkan penjara boleh
membawa kepada berbagai keburukan seperti ia boleh menjadi tempat latihan
jenayah di samping pusat pengedaran dadah dan perbuatan tidak bermoral.
Penjara juga menyebabkan isteri, anak-anak dan keluarga terpaksa
menanggung malu dan beban ekonomi akibat dari kesalahan penjenayah. Mereka
yang keluar dari penjara biasanya disisihkan oleh masyarakat dan ada yang
kembali melakukan jenayah.
- Perbezaan terakhir iailah dari
sudut keberkatan. Keberkatan adalah satu perkara yang tidak dapat dilihat
oleh pancaindera tetapi ia terbukti melalui janji Allah dan Rasulnya serta
peristiwa yang berlaku. Allah menjamin keberkatan dengan pelaksanaan hukum
Islam termasuk undang-undang jenayah. Pelaksanaan undang-undang Islam
pasti dapat mengurangkan kadar jenayah dan mewujudkan keharmonian di
kalangan masyarakat. Berbeza dengan undang-undang sivil ciptaan manusia
yang dianggap bertentangan dengan undang-undang Islam. Ia gagal
menimbulkan rasa takut dan gerun walau pun hukuman yang dikenakan adalah
berat. Umpamanya hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah
tidak berjaya mengurangkan jenayah berkenaan. Begitu juga
dengan kesalahan jenayah yang lain.
6.9
Pelaksanaan undang-undang jenayah Islam
Undang-undang jenayah Islam adalah
undang-undang yang sesuai untuk semua masyarakat pada semua zaman. Ia juga undang-undang undang-undang yang sesuai dengan fitrah kejadian
manusia. Apa yang lebih penting undang-undang jenayah Islam wajib diamalkan
oleh mereka yang beriman. Antara dalil yang menunjukkan kewajipan tersebut
adalah ayat-ayat Al-Quran berikut:
1)Dan hendaklah kamu berhukum antara manusia dengan hukum yang diturunkan
oleh Allah dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kamu, dan berhati-hatilah
kamu terhadap mereka kalau-kalau mereka menggelincirkan kamu daripada
sebahagian dari apa yang telah Allah turunkan kepadamu. [11]
2)Sesungguhnya kami telah turunkan kepada kamu (ya Muhammad s.a.w.) akan
kitab (al-Quran) dengan sebenarnya supaya kamu menghukum manusia dengan apa
yang telah dinyatakan oleh Allah maka janganlah kamu menjadi pembela kepada
orang-orang yang khianat.[12]
Terdapat banyak
lagi ayat al-Quran dan Sunnah yang menunjukkan kewajipan pelaksanaan
undang-undang jenayah Islam iaitu qisas, hudud dan ta’zir ini. Hukum ini berkekalan
sampai hari kiamat. Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, Khulafa al-Rasyidin
dan para khalifah berikutnya melaksanakan undang-undang ini, sehinggalah
jatuhnya kerajaan atau khilafah Islam. Malah kerajaan empayar Melaka dan
negeri-negeri lain juga pernah melaksanakan undang-undang jenayah Islam ini.
Tiada siapa yang berhak memansuhkan hukuman ini. Ada yang mengatakan Sayyidina
Umar pernah memansuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri pada tahun
kelaparan. Dakwaan ini adalah satu fitnah yang besar ke atas sahabat yang
dijamin syurga ini. Apa yang berlaku ialah pencuri tidak dihukum kerana tiada
keterangan yang mencukupi untuk disabitkan bersalah.[13] Hadith-hadith yang mengatakan Sayyidina Umar menangguhkan pelaksanaan
hukum potong tangan bagi pencuri pada tahun kelaparan adalah hadis daif.[14]
Ada yang
mengatakan pelaksanaan hukum jenayah Islam perlu ditangguhkan untuk mengelakkan
tekanan ekonomi akibat ketiadaan pelabur asing. Alasan ini tidak berasas kerana
pelaksanaan hukum Islam dibuat secara adil mengikut kehendak Allah. Hasil dari
pelaksanaan hukum Islam negara akan menjadi aman dan tenteram serta jenayah
dapat dikurangkan pada tahap yang sangat minimum. Perkembangan ini tentunya
akan menambahkan lagi tarikan pelabur untuk melabur di dalam negara pengamal
undang-undang jenayah Islam ini. Tambahan pula pelabur yang datang tidak perlu
takut kerana mereka datang bukan untuk melakukan jenayah tetapi untuk menanam
modal.
Terdapat juga
pihak yang ingin mengelakkan dari pelaksanaan undang-undang jenayah Islam
dengan alasan bahawa keadaan rakyat yang belum menghayati Islam sepenuhnya
serta banyaknya perkara munkar, menjadikan undang-undang Islam tidak sesuai
untuk dilaksanakan. Pelaksanaan undang-undang Islam tidak tertakluk kepada
syarat bahawa semua rakyat telah menghayati Islam terlebih dahulu. Pelaksanaan
undang-undang jenayah Islam adalah bertujuan untuk menghapuskan atau
mengurangkan kadar jenayah. Ia sesuai dilaksanakan dalam semua keadaan.
Undang-undang jenayah yang ada pada hari ini terbukti gagal untuk menghapuskan
jenayah. Fakta menunjukkan bahawa purata kadar peningkatan jenayah di Malaysia
bermula dari tahun 1994-1998 telah menjangkau sebanyak 9.5% setahun sebagaimana
yang dilaporkan oleh Polis DiRaja Malaysia. Keadaan ini jauh berbeza dengan kadar
pertumbuhan penduduk Malaysia sekitar 2.53% sahaja sebagaimana yang dilaporkan
oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Jika perkembangan ini dibiarkan berterusan,
keselamatan rakyat dan keamanan negara semakin lama semakin terancam. Bagi mengatasi masalah ini, undang-undang
jenayah Islam perlu kembali dikuatkuasakan sebagaimana yang pernah diamalkan
oleh Empayar Melaka dan negeri-negeri Melayu. Sepatutnya situasi rakyat yang
tidak menghayati Islam sepenuhnya dan banyaknya munkar menjadi faktor pendorong
untuk menguatkuasakan undang-undang jenayah Islam, bukannya faktor untuk tidak
melaksanakannya seperti yang didakwa oleh sesetengan pihak. Jika kita ingin
menunggu seluruh masyarakat menjadi ‘baik’ semuanya tanpa pelaksanaan
undang-undang jenayah Islam, sehingga kiamat pun kita tidak akan berjaya. Ini
kerana undang-undang jenayah Islam adalah pelengkap kepada proses islah
atau tajdid iaitu proses untuk merubah masyarakat ke arah kebaikan.
Usaha pendidikan, pembangunan institusi keluarga, pembangunan sosial dan dakwah
tidak akan berjaya sepenuhnya tanpa penguatkuasaan undang-undang jenayah Islam
seperti yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.
Di samping itu,
terdapat juga suara-suara yang mengatakan bahawa undang-undang jenayah Islam
tidak dapat dikuatkuasakan kerana rakyat masih jahil dengan undang-undang
tersebut. Islam sebenarnya tidak mensyaratkan semua rakyat memahami sesuatu
undang-undang sebelum pelaksanaannya. Bahkan dalam mana-mana sistem perundangan
dalam dunia tidak terdapat Parlimen atau Badan Perundangan yang mensyaratkan
kefahaman rakyat sebelum sesuatu undang-undang diluluskan. Di Malaysia sahaja
terdapat lebih kurang 600 akta dan beribu-ribu undang-undang kecil serta
bermacam-macam peraturan. Tidak ramai rakyat memahami kesemua undang-undang
tersebut. Parlimen tetap meluluskan semua undang-undang walau pun ia belum
difahami sepenuhnya oleh rakyat. Undang-undang jenayah Islam seperti hudud,
qisas dan ta’zir sebenarnya undang-undang yang sedia diketahui oleh rakyat
terutamanya umat Islam kerana ia terdapat di dalam Al-Quran dan Hadith yang
menjadi bacaan harian umat Islam. Ia juga diajar di masjid-masjid dan
surau-surau. Terdapat banyak buku dalam pelbagai bahasa yang menghuraikan
tentang hukum jenayah Islam ini. Jika ada yang belum memahaminya sekali pun ia
boleh diketahui dan difahami dengan mudah. Oleh yang demikian tiada sebab umat
Islam menolak pelaksanaan undang-undang jenayah Islam kerana alasan kejahilan
masyarakat.
Undang-undang
jenayah Islam ini sesuai untuk semua masyarakat. Namun begitu ada yang
menyatakan undang-undang ini tidak sesuai dijalankan di sebuah negara yang
mempunyai masyarakat berbilang kaum. Sebenarnya ini bukan satu alasan yang
kukuh kerana kerajaan Islam yang dipimpin oleh Rasulullah di Madinah juga
adalah masyarakat berbilang kaum dan agama yang turut didiami oleh orang Yahudi
di samping umat Islam. Al-Qurtubi menjelaskan bahawa terdapat perbezaan
pendapat ulama berkaitan kedudukan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam ke
atas bukan Islam. Sebahagian ulama seperti Imam Malik dan al-Syafie berpendapat
bahawa mereka diberi pilihan samada mahu dihukum dengan hukum jenayah Islam
atau tidak.[15] Jika pandangan ini diambil, tidak timbul soal masyarakat berbilang kaum
dan agama sebagai penghalang kepada pelaksanaan undang-undang jenayah Islam.
Jika mereka tidak mahu memilih undang-undang jenayah Islam mereka boleh diadili
dan dihukum mengikut undang-undang yang sedia ada seperti Kanun Keseksaan.
Tegasnya
undang-undang jenayah Islam adalah undang-undang yang dikurniakan kepada
manusia sebagai rahmat dari Allah. Undang-undang ini sesuai dengan naluri
manusia yang begitu kompleks dan sukar dijangkakan. Pelaksanaan undang-undang
Islam akan membawa kejayaan bukan sahaja di dunia bahkan juga kejayaan di
akhirat.
[1] Surah al-Baqarah:173
[2] Surah al-Nisa’:58
[3] Surah
al-Nisa’:2
[4] Surah
al-Mutaffifin: 3
[5] Surah
al-Baqarah:275
[6] Surah
al-Hajj: 30
[7] Surah
al-Hujurat: 11
[8] Surah
al-Baqarah:188
[9] Surah
al-Ma’idah: 90
[10] Maksud
hadith riwayat al-Bukhari
[11] Surah
al-Maidah:29
[12] Surah
al-Nisa’:105
[13] Abdul
Ghani Azmi b. Idris, Mengenal Qanun Jenayah Islam, ms. 263
[14] Abdul
Ghani Azmi b. Idris, Mengenal Qanun Jenayah Islam, ms. 264
0 comments:
Post a Comment