UNDANG-UNDANG
JENAYAH ISLAM
Oleh Muhammad Fathi Yusof
Jenayah dalam bahasa Arab disebut dengan
perkataan al-Jinayah atau al-Jarimah. Perkataan al-Jinayah
ditakrifkan sebagai segala bentuk tindakan yang dilarang dan merosakkan, samada
tindakan itu ke atas badan, harta atau sebagainya. Al-Mawardi mentakrifkan
jenayah sebagai segala bentuk kesalahan menurut Syariah yang boleh dihukum
berdasarkan hukum Allah samada ia adalah qisas, hudud atau ta’zir.[1]
Takrif ini cuba
membezakan kesalahan yang boleh dihukum dengan kesalahan yang tidak boleh
dihukum oleh pemerintah. Ini menjadikan skop jenayah adalah besar kerana semua
kesalahan yang boleh dihukum oleh pemerintah menurut syara’ dianggap sebagai
jenayah.
Islam menganggap jenayah satu kesalahan yang
mesti dihukum kerana ia melanggar hak Allah dan hak manusia atau makhluk lain. Islam memandang tinggi kemuliaan agama, nyawa, akal, harta dan maruah.
Pencabulan kepada lima perkara ini adalah jenayah yang perlu dihukum. Untuk
menjadikan sesuatu tindakan itu dianggap jenayah, ia perlu memenuhi
elemen-elemen berikut:[2]
a. Elemen perundangan iaitu peruntukan yang jelas melarang
tindakan jenayah itu dan menjadikannya sebagai kesalahan yang boleh dihukum.
b. Elemen tindakan iaitu melakukan tindakan yang menjadi
kesalahan itu
c. Elemen kelayakan iaitu melihat kepada umur, keupayaan,
dan tanggungan penjenayah berkenaan
Undang-undang
Islam membahagikan jenayah kepada tiga pembahagian utama berasaskan kepada
hukuman yang dikuatkuasakan, iaitu seperti berikut:
a. Qisas dan diyat iaitu hukuman berkaitan dengan hak
individu mangsa atau walinya. Umpamanya setelah hakim mendapati seseorang itu
bersalah kerana membunuh, wali mereka boleh memilih samada untuk meneruskan
hukuman qisas atau menggantikannya dengan diyat atau memaafkannya.
b. Hudud iaitu hukuman yang berkaitan dengan hak Allah yang
telah ditetapkan dengan jelas di dalam al-Quran dan Sunnah. Hudud melibatkan
kesalahan zina, qazaf, mencuri, hirabah, minum arak, dan murtad. Hukuman
hudud ini kekal dan tidak boleh diubah sehingga hari kiamat.
c. Ta’zir iaitu hukuman selain dari hudud dan qisas. Hukuman
bagi kesalahan dibawah qisas ini ditentukan oleh pemerintah atau hakim sesuai
dengan suasana, penjenayah, kesalahan dan faktor lain.
Berikut adalah
perbincangan secara mendalam bagi setiap pembahagian jenayah seperti yang telah
disebutkan
6.7.1
Qisas dan diyat
Qisas bermaksud pembalasan yang serupa atas
kejahatan yang dilakukan oleh penjenayah. Contohnya, bagi kesalahan bunuh
dibalas dengan hukuman mati, bagi kesalahan membutakan mata dibalas dengan hukuman
membutakan mata dan seumpamanya. Qisas berlaku dalam kes
pembunuhan dan kes kecederaan atas anggota badan
Pembunuhan (al-qatl)
Hukuman qisas
bagi kes pembunuhan adalah berasaskan firman Allah:
Terjemahan: Hai orang-orang
yang beriman, diwajibkan ke atas kamu qisas dalam kes pembunuhan, iaitu orang
merdeka dengan orang merdekan, hamba dengan hamba, wanita dengan wanita. Maka
sesiapa yang mendapat pengampunan dari sudaranya hendakla9yang memaafkan)
mengikuti dengan cara yang baik dan hendaklah (yang dimaafkan) membayar (diat)
kepada yang memberi maaf dengan baik juga. Yang demikian itu satu keringanan
dari Tuhan kamu dan satu rahmat, sesiapa yang melampaui batas selepas itu ,
maka baginya seksaan yang amat pedih. Dan pada Qisas itu ada (jaminan penerusan)
hidup, hai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertaqwa.[3]
Kebanyakan ulama
membahagikan pembunuhan kepada tiga iaitu pembunuhan dengan sengaja (qatl
‘amd), pembunuhan serupa sengaja (qatl syibhu ‘amd) dan pembunuhan
tidak sengaja (qatl khata’). Setiap jenis pembunuhan ini dihukum dengan
hukuman yang berbeza.
1. Pembunuhan sengaja (qatl ‘amd)
Pembunuhan
sengaja ialah apabila seseorang itu dengan sengaja dan dengan niat untuk
mematikan seseorang hidup yang tidak halal dibunuh dengan menggunakan alat,
bahan atau cara yang kebiasaannya boleh membunuh. Pembunuhan sengaja
ini berlaku apabila memenuhi syarat berikut:
a. Tertuduh itu orang mukallaf, iaitu dewasa dan siuman.
b. Orang yang dibunuh itu adalah manusia yang masih hidup
dan tidak halal darahnya.
c. Alat, bahan atau cara yang digunakan itu kebiasaannya
boleh membunuh
d.
Pembunuhan itu dilakukan dengan
sengaja
e. Kematian mangsa itu adalah akibat dari tindakan tertuduh.
Setelah memenuhi
syarat di atas seseorang itu boleh didakwa, dan jika dia didapati bersalah,
hukuman qisas boleh dikenakan ke atasnya. Hakim seterusnya akan menyerahkan hak
qisas kepada wali kepada si mati. Wali mempunyai pilihan iaitu samada
melaksanakan qisas, menerima diyat atau memaafkannya.
2. Pembunuhan serupa sengaja (qatl syibhu amd)
Imam Syafie
mentakrifkan pembunuhan serupa sengaja ini sebagai ‘pembunuhan yang berlaku
dengan pukulan yang disengajakan, tetapi tersalah pada kesan pembunuhannya,
iaitu pukulan itu tidak bertujuan untuk membunuh tetapi ia menyebabkan
kematian. Imam Abu Hanifah pula mentakrifkan pembunuhan serupa sengaja sebagai
‘pembunuhan yang menggunakan selain dari besi tajam, buluh atau api atau yang
seumpamanya. Pembunuhan dengan tongkat, batu kecil atau besar dan
menenggelamkan dalam air adalah pembunuhan serupa sengaja.[4] Kedua-dua takrif ini berasaskan pendekatan berbeza. Takrif pertama melihat
kepada niat pembunuh sementara takrif kedua menekankan soal alat yang digunakan
untuk pembunuh. Takrif pertama lebih baik kerana ia lebih luas dan turut
mencakupi takrif yang dibuat oleh Imam Abu Hanifah. Ini kerana alat pembunuhan
yang digunakan menunjukkan niat pembunuh itu.
Hukuman bagi
pembunuhan serupa sengaja ini telah disebut di dalam satu Hadith iaitu
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Terjemahan: Ketahuilah bahawa
pembunuhan serupa sengaja dengan cemeti, tongkat atau batu padanya diat berat
iaitu seratus ekor unta dan 40 ekor daripadanya adalah unta betina yang berumur
dari enam hingga sembilan tahun, semuanya sedang bunting.
3. Pembunuhan tidak sengaja (qatl
khata’)
Pembunuhan tidak
sengaja adalah perbuatan yang menyebabkan kematian tetapi tidak dilakukan
dengan niat membunuh. Hukumannya adalah diyat sebanyak seratus ekor unta.
Hukuman diyat ini berasaskan firman Allah:
Terjemahan: Sesiapa yang
membunuh orang beriman dengan tidak sengaja maka dia perlu membebaskan seorang
hamba dan membayar diyat kepada keluarga si mati kecuali jika mereka (keluarga
si mati) memaafkannya.
Kesalahan mencederakan anggota badan
Kesalahan
mencederakan adalah tindakan yang melukakan, mencacatkan, atau menyakitkan ke
atas anggota atau mana-mana bahagian badan. Ia juga dibahagikan kepada
kecederaan dengan niat dan kecederaan tidak sengaja. Hukuman bagi
kecerderaan adalah seperti berikut:
a.
Qisas iaitu hukuman
kecederaan ke atas anggota yang dicederakan. Hukuman ini dikenakan ke atas
anggota yang mempunyai sendi-sendi dan dapat dipastikan persamaannya seperti
jari-jari tangan dan kaki, mata, telinga, hidung, tangan, kaki, kemaluan lelaki
dan gigi. Bagi anggota lain, hukumannya diganti dengan diat kerana
sukar untuk dipastikan persamaannya.[5] Hukuman
qisas ini dijatuhi ke atas kecederaan secara sengaja.
b. Diyat iaitu hukuman
gantirugi atau denda yang dikenakan sebagai gantirugi ke atas anggota badan
yang dipotong atau dilukakan oleh penjenayah. Diat dikenakan jika pesalah
melakukan kesalahan kecederaan tidak sengaja atau jika hukuman qisas tidak
dapat dijalankan dengan sebab-sebab tertentu seperti penjenayah sememangnya
cacat, atau mangsa telah memaafkannya dari pelaksanaan qisas. Kadar diyat ini
ditetapkan berasaskan anggota yang dicederakan contohnya 100 ekor unta bagi
anggota yang tunggal sepert lidah, kemaluan lelaki, 50 ekor unta pula didenda
bagi anggota kembar seperti telinga dan seterusnya. Kadar diyat juga boleh dikira berasaskan fungsi anggota tersebut seperti
100 ekor unta untuk kehilangan fungsi pendengaran dari kedua-dua telinga, dan
kehilangan fungsi menghidu dan seterusnya. Diyat juga boleh dilihat dari sudut
kadar luka umpamanya luka yang mengena daging setelah kulit (al-badhi’ah)
diyatnya 3 ekor unta, luka yang masuk dalam daging (al-mutalahimah)
diyatnya 4 ekor unta, luka yang mematahkan tulang (al-hasyimah) diyatnya
10 ekor unta dan seterusnya.
Tegasnya hukuman
qisas dalam kes pembunuhan dan kecederaan menunjukkan keadilan Islam iaitu memberikan
hukuman setimpal dan sama dengan kesalahan yang dilakukan. Hukuman ini akan
menjadikan penjenayah akan lebih takut untuk melakukan jenayah, baik jenayah
pembunuhan atau kecederaan. Qisas tertakluk kepada hak mangsa kecederaan atau
wali si mati kerana fitrah manusia yang inginkan sesuatu kejahatan yang
dilakukan ke atas diri seseorang atau keluarganya dibalas dengan seadilnya.
Cara ini dapat mengelakkan dari berlakukan permusuhan dan pertentangan
berlarutan akibat dari jenayah yang berlaku. Hukuman diyat pula membuktikan
betapa Islam mengutamakan hubungan kemanusiaan sesama anggota masyarakat. Sikap
bermaaf-maafan adalah satu perkara yang amat di alu-alukan bagi memadam dendam
yang berpanjangan.
6.7.2
Hudud
Hudud dari segi
bahasa bermaksud sempadan, had, halangan atau sekatan. Dari sudut istilah pula
bermaksud hukuman yang tidak boleh dipinda yang ditetapkan oleh Allah dalam
Al-Quran dan Sunnah. Hudud dianggap sebagai hak Allah, dan hukumannya tidak
boleh diubah, dipinda, ditambah atau dikurangkan oleh badan perundangan,
pemerintah atau hakim.
Terdapat enam
kesalahan hudud yang disepakati oleh semua ulama, iaitu:
a.
Zina
b. Qazaf (Menuduh seseorang melakukan zina tanpa saksi)
c.
Mencuri
d.
Hirabah (rompakan)
e.
Minum arak
f.
Murtad
Kesalahan lain yang tidak disepakati oleh
para ulama adalah pemberontakan (al-baghyu), liwat, hubungan sex dengan
haiwan, sihir, lari dari medan
perang, dan beberapa kesalahan lagi.
1. Zina
Zina adalah persetubuhan antara seorang
lelaki dengan seorang wanita yang bukan pasangan suami isteri. Zina adalah
perbuatan keji yang diharamkan. Semua persetubuhan di luar perkahwinan adalah
zina kecuali dalam kes wat’i syubhah iaitu persetubuhan yang dilakukan
oleh seorang lelaki dengan seorang perempuan yang disangka adalah isterinya
yang sah sedangkan perempuan tersebut adalah orang lain. Wat’i syubhah
juga berlaku apabila dia bersetubuh yang seorang perempuan kerana perkahwinan
yang disangkakan sah sedangkan perkahwinan itu adalah tidak sah.
Sesuatu kesalahan zina boleh disabitkan
melalui cara iqrar atau pengakuan penzina sendiri seperti yang berlaku
dalam kes Ma’iz bin Malik dan kes pengakuan zina oleh al-Ghamidiyah pada zaman
Rasulullah dan kes pengakuan zina anak kedua Sayyidina Umar bernama Ubaidillah
atau Abi Shamhah, ketika dia menjadi Khalifah. Menurut Abdul Rahman I. Doi,
kebanyakan hukuman hudud yang dijalankan pada zaman Rasulullah dan empat
Khulafa al-Rasyidin dijatuhi berasaskan kepada iqrar atau pengakuan.
Selain dari itu zina juga boleh disabitkan
melalui kesaksian empat orang saksi lelaki Muslim serta mukallaf dan adil.
Saksi itu juga menyaksikan kejadian zina iaitu kemaluan lelaki masuk ke dalam
kemaluan perempuan secara jelas serta mereka perlu memberikan kesaksian menggunakan perkataan
yang terus-terang bukan kiasan atau sindiran.
Hukuman zina adalah berbeza mengikut status
penzina. Penzina yang sudah berkahwin secara sah dan telah menikmati
persetubuhan dalam perkahwinan itu dikenali sebagai ‘muhsan’. Penzina
yang belum berkahwin atau sudah berkahwin tetapi belum merasai nikmat
persetubuhan dalam perkahwinan itu, pesalah itu dikenali sebagai ghairu
muhsan atau bukan muhsan. Hukuman mereka adalah seperti berikut:
a. Bagi penzina bukan muhsan hukumnya adalah sebat
sebanyak seratus kali sebatan. Hukuman bagi wanita yang mengandung ditangguhkan
sehingga tempoh penyusuan tamat. Hukuman
bagi penzina yang sakit ditangguhkan sehingga dia sembuh. Rotan yang
digunakan tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil iaitu lebih kurang satu
meter panjang dan satu sentimeter garis pusat. Sebatan dibuat pada merata-rata
tubuh kecuali muka, kepala, dada dan kemaluan. Sebatan mesti dilakukan secara
sederhana iaitu pegawai yang menjalankan hukuman tidak boleh mengangkat rotan
itu tinggi hingga ke paras kepalanya. Pesalah dihukum dengan memakai pakaian yang
nipis menutup aurat. Jika semasa sebatan dilakukan, pesalah itu didapati tidak
mampu menerima sebatan, maka atas pengesahan pegawai perubatan, sebatan itu
perlu ditangguhkan sehingga pesalah itu sembuh kembali. Bagi hukuman yang sabit
dengan iqrar atau pengakuan, pesalah boleh menarik balik iqrarnya
ketika hukuman dijalankan.
Hukuman ini adalah ketetapan Allah berasaskan firmanNya:
Terjemahan: Penzina wanita dan penzina lelaki hendaklah disebat dengan
seratus kali sebatan dan janganlah perasaan belas kepada kedua-duanya
menghalang kamu dalam menegakkan agama Allah, jika sekiranya kamu beriman
dengan Allah dan hari akhirat.[6]
b. Bagi penzina muhsan, hukumannya adalah rejam
dengan batu yang sederhana besar sehingga mati. Hukuman dilakukan secara
terbuka dan disaksikan oleh orang-orang
Islam. Hukuman bagi wanita yang mengandung dan orang sakit juga ditangguhkan
seperti dalam kes penzina bukan muhsan. Pesalah dikenakan pakaian yang menutup
aurat. Bagi pesalah yang sabit kerana iqrar, mereka boleh menarik balik iqrar
ketika hukuman berjalan.
Hukuman rejam ini adalah ketetapan Allah seperti yang termaktub di dalam
Sunnah Nabi S.A.W. di antaranya:
1)Terjemahan: Dari Abi Hurairah r.a.: Seorang lelaki datang menemui
Rasulullah s.a.w. ketika baginda sedang berada dalam masjid. Dia memanggil Nabi
lalu berkata: Ya Rasulullah, saya telah berzina. Rasulullah tidak memandangnya,
memalingkan diri daripadanya. Orang itu mengulangi kata-kata itu sehingga empat
kali. Maka setelah ia mengaku sebanyak empat kali, Nabi memanggilnya dan
berkata: Adakah awak gila? Dia menjawab: Tidak. Rasulullah bertanya: Adalah
engkau muhsan? Dia menjawab: Ya. Maka Rasulullah besabda: Bawalah dia dan
rejamkanlah dia, maka kami pun merejamnya.[7]
2)Terjemahan: Tidak halal darah seorang muslim kecuali karana salah satu
dari tiga perkara: kafir sesudah beriman, berzina sesudah ihsan (muhsan),
membunuh nyawa bukan kerana nyawa (qisas)
Hukuman zina
hanya dikenakan jika ia dilakukan secara sukarela. Jika ia dilakukan secara
paksa atau dirogol maka ia dikecualikan dari hukuman. Islam mengharamkan zina
dan mengenakan hukuman keras ke atas pelakunya kerana zina adalah perbuatan
yang sangat jijik yang boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan dan moral
masyarakat.
2. Qazaf
Qazaf bermaksud
membuat tuduhan zina terhadap seorang Islam yang akil baligh dan dikenali
sebagai seorang yang bersih dari perbuatan zina tanpa dibuktikan dengan empat
orang saksi. Qazaf boleh berlaku dengan membuat kenyataan secara jelas seperti
mengatakan seseorang itu telah berzina, atau dengan cara tersirat seperti
menyatakan bahawa seseorang itu bukan anak atau bukan bapa kepada seseorang
yang tertentu.
Orang yang melakukan qazaf disebat dengan 80 kali sebatan kecuali jika dia
dapat membawa 4 orang saksi yang dapat mensabitkan kesalahan orang yang
dikatakan berzina tadi dengan kesalahan zina. Hukuman ini berasaskan kepada
kepentingan kehormatan dan maruah di kalangan masyarakat. Ia juga untuk
memastikan tidak ada sebarang tuduhan zina yang dibuat tanpa asas yang kukuh,
kerana tuduhan zina itu suatu yang amat memalukan dan boleh memporak-perandakan
keharmonian keluarga.
Hukuman hudud ke
atas pesalah qazaf adalah satu ketetapan Allah berasaskan firmanNya:
Terjemahan: Dan orang-orang yang
menuduh wanita-wanita yang muhsanat(baik) dan kemudian mereka gagal membawa
empat orang saksi, maka sebatlah mereka dengan lapan puluh sebatan…[8]
3. Mencuri
Mencuri atau
sariqah ditakrifkan sebagai memindahkan dengan cara bersembunyi harta alih
daripada jagaan atau milikan tuannya tanpa persetujuan tuannya dan perbuatan
itu dilakukan dengan niat untuk menghilangkan harta itu daripada jagaan atau
milikan tuannya. Kecurian
apak berlaku apabila memenuhi syarat-syarat berikut:
- Nilai
harta yang dicuri itu mencukupi nisab iaitu ¼ dinar emas (9.36 gram emas)
atau tiga dirham perak.
- Harta
itu adalah bernilai menurut syara’, jadi mencuri arak, dadah dan
seumpamanya tidak dikenakan hukuman hudud.
- Harta
yang disimpan itu berada di tempat yang sesuai iaitu pemiliknya mengambil
langkah yang wajar untuk menjaga harta itu
- Tertuduh bukan pemilik penuh ke
atas harta itu
- Kesalahan itu tidak dilakukan
dalam keadaan amat mendesak, seperti perang, kebuluran, penyakit dan
bencana lam
- Pencuri itu bukan keluarga
pemilik barang
- Tuan punya harta tidak
menafikan tentang kecurian itu walau pun pesalah mengakuinya
Hukuman bagi
kesalahan mencuri adalah potong tangan kanan iaitu di bahagian pergelangan
tangan pada sendi yang menyambungkan tapak tangan dengan lengan. Bagi kesalahan
kedua, dikenakan hukuman potong kaki kiri dipergelangan buku lali iaitu di
bahagian tengah kaki, manakala tumit kaki masih boleh digunakan untuk berdiri
atau berjalan. Hukuman ini berasaskan firman Allah:
Terjemahan: Pencuri lelaki dan pencuri wanita, maka hendaklah dipotong
tangan kedua-duanya sebagai balasan atas apa yang mereka lakukan dan sebagai
pengajaran yang dapat mencegah dari Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi
Maha Bijaksana.[9]
4. Hirabah
Hirabah adalah perbuatan merampas harta orang lain dengan
kekerasan atau ugutan oleh seseorang atau kumpulan yang bersenjata atau alat
yang boleh digunakan sebagai senjata. Rompakan adalah satu jenayah yang besar
dan bahaya. Oleh itu hukuman yang dikenakan ke atas mereka mestilah berat dan
keras. Berbeza dengan pemberontakan, jenayah hirabah ini tidak dilakukan untuk
tujuan politik tetapi semata-mata untuk merampas harta dan merosakkan keamanan
negara. Hukuman hirabah ini berasaskan firman Allah:
Terjemahan: Sesungguhnya balasan orang-orang yang yang memerangi Allah dan
Rasulnya dan berbuat kerosakan di atas muka bumi ini adalah agar mereka dibunuh
ataudisalib atau dipotong tangan dan kaki mereka secara bersilangatau dibuang
negeri…
Berdasarkan ayat
ini, terdapat percanggahan pendapat ulama berkaitan dengan hukuman kesalahan
hirabah. Al-Quran menyebut tiga bentuk hukuman iaitu: hukuman mati, hukuman
salib, hukuman potong tangan serta kaki secara bersilang dan buang negeri. Kebanyakan ulama
menghuraikan hukuman hirabah seperti berikut:
a.
dihukum bunuh dan selepas itu
disalibkan jika mangsa jenayah itu dibunuh dan hartanya atau harta orang lain
diambil
b.
dihukum bunuh sahaja jika mangsa
jenayah itu dibunuh dengan tiada sebarang harta diambil
c. dihukum potong tangan kanan dan kaki kiri, jika harta
diambil tanpa menyebabkan kematian atau
kecederaan mangsa
d. hukuman buang negeri bagi pesalah yang hanya mengganggu
lalu-lintas sahaja
5. Syurb atau Meminum arak
Syurb di sini membawa maksud meminum arak atau sebarang
minuman yang memabukkan. Arak adalah ibu segala kejahatan dan ia boleh
mendorong kepada jenayah-jenayah lain. Hukuman bagi peminum arak adalah sebatan
sebanyak 40 kali. Ada ulama yang menetapkan sebatan sebanyak 80 kali. Kedua-dua
pendapat ini berasaskan hadith berikut:
Terjemahan: Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. bahawa seorang
peminum arak telah dibawa ke hadapan Rasulullah s.a.w. maka baginda memukulnya
dengan pelepah tamar sebanyak 40 kali. Kata Anas: begitulah juga dilakukan oleh
Khalifah Abu Bakar. Apabila zaman Khalifa Umar, beliau bermesyuarat bersama
para sahabat lalu Abdul Rahman bin Auf berkata bahawa, sekurang-kurangnya hukum
hudud itu adalah 80 kali sebatan. Lalu Umar mengarahkan hukuman 80 kali
sebatan.[10]
Hukuman hudud ini
dikenakan kalau peminum itu meminumnya dengan sengaja dan mengetahui minuman
tersebut adalah arak. Tiada bukti yang menunjukkan Rasulullah Sallallahu
'Alaihi Wasallam menetapkan alat-alat tertentu untuk menyebat peminum arak.
Kadang-kadang baginda menyebat dengan selipar, kadang-kadang dengan pelepah
tamar, kadang-kadang dengan rotan dan kadang-kadang dengan tangan dan selipar.[11] Kaedah merotan dengan alat yang berbeza-beza ini menunjukkan betapa
hukuman undang-undang Islam tidaklah bersifat kasar dan keras seperti yang
didakwa. Ia jauh berbeza dengan cara sebatan yang digunakan dalam sistem
hukuman yang diperkenalkan oleh undang-undang Barat. Fakta ini menunjukkan
bahawa tujuan terpenting hukuman ini adalah untuk mendidik dan memberi
peringatan kepada pesalah tadi, bukan untuk menyeksa dan menyakitkannya. Apa
yang penting undang-undang Islam boleh menimbulkan rasa gerun kepada rakyat
agar tidak melakukan sebarang jenayah.
6. Riddah
Riddah atau irtidad adalah kesalahan yang dilakukan oleh
seseorang Islam yang mukallaf dengan membatalkan Islam dan imannya iaitu keluar
dari agama Islam samada dengan perkataan, atau perbuatan. Orang yang keluar
dari agama itu disebut sebagai murtad. Jenayah adalah satu kesalahan
yang besar terhadap agama, kerana ia menunjukkan satu penghinaan terhadap agama
dan kepada Allah.
Hukuman bagi kesalahan riddah adalah dibunuh sehingga
mati setelah diberi peluang bertaubat selama beberapa hari. Hukum ini
berdasarkan beberapa dalil antaranya:
1) Terjemahan Hadith: Dari Ibn Abbas r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Sesiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah dia[12]
2) Terjemahan Hadith: Dari Ibn Mas’ud r.a, bahawa Rasulullah s.a.w. telah
bersabda: Tidak halal darah seorang muslim kecuali dalam salah satu dari tiga
perkara: kafir sesudah beriman, berzina sesudah muhsan dan membunuh jiwa tanpa
jiwa.[13]
3) Terjemahan Hadith: Dari Abu Burdah bahawa Mu’az bin Jabal datang menemui
Abu Musa Al-Asya’ari di Yaman, didapati ada seorang lelaki di sebelahnya. Mu’az
bertanya: Apa ini? Abu Musa menjawab: (Dia) seorang Yahudi memeluk Islam
kemudiannya dia kembali menjadi Yahudi, dan kami menghendaki dia kembali kepada
Islam semenjak- perawi berkata: aku kira – dua bulan. Kata Mu’az: Demi Allah
aku tidak akan duduk sebelum, kamu penggal lehernya, lalu orang itu pun
dipenggal lehernya. Mu’az berkata: Allah dan RasulNya memutuskan bahawa sesiapa
yang murtad dari agamanya hendaklah kamu membunuhnya, atau baginda bersabda:
Sesiapa yang menukar agamanya hendaklah kamu membunuhnya.[14]
[1]
Al-Mawardi, Al-Ahkam al-Sutaniyyah, ms.192
[2]
Anwarullah, Criminal Law of Islam, A.S.Noordeen, Kuala Lumpur , 1997, ms.3-4
[3] Surah
al-Baqarah:178-179
[4] Abdul
Ghani Azmi b. Idris, Mengenal Qanun Jenayah Islam, Al-Hidayah Publisher,
Kuala Lumpur, 1997, ms. 187
[5] Abdul
Ghani Azmi b. Idris, Mengenal Qanun Jenayah Islam, ms. 194
[6] Surah an-Nur: 2
[7] Hadith Muttafaq ‘alaihi
[8] Surah al-Nur:4
[9] Surah al-Ma ‘idah: 38
[10] Muttafaq ‘alaihi
[11] Abdul Ghani Azmi b. Idris, Mengenal
Qanun Jenayah Islam, ms. 56
[12] Riwayat Bukhari dan Abu Dawud
[13] Hadith Muttafaq ‘alaihi
[14] Riwayat Ahmad
p/s: aku nak kredit sape pun aku xtau sbb dah lupa dari website mana aku ambik. just nama pengarang dia je la ade kt atas tu.
0 comments:
Post a Comment